KUCHING: Program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian di SMK Bako memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pilihan program pengajian serta syarat kemasukan ke Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen P.193 Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, program berkenaan turut merangkumi bimbingan dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris.
“Program hari ini bukan sahaja memberi motivasi, tetapi turut menyediakan bimbingan dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris,” katanya pada Majlis Penutupan Program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Persatuan Alumni UiTM Sarawak (MITSA) turut menyumbangkan kalkulator kepada SMK Bako bagi pelajar yang memerlukan khususnya dalam persediaan menghadapi peperiksaan.
“Pendidikan membuka peluang kepada pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan membantu sesebuah keluarga membina kehidupan yang lebih baik,” tambahnya.
Nancy berkata, pembangunan kapasiti dan modal insan menjadi antara teras utama pembangunan Parlimen P.193 Santubong bagi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berkeyakinan.
Program berkenaan merupakan usaha MITSA yang dilaksanakan sejak 2005 di beberapa lokasi termasuk Bintulu, Mukah, Lawas, Simunjan, Saratok dan Miri. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI
