Abang Johari sokong akademi penerbangan, latihan pengendalian dron di Betong

BETONG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyokong usaha mewujudkan akademi penerbangan di bahagian ini dengan kerjasama sektor swasta dan pihak berkaitan.

Beliau berkata, kemahiran mengendalikan dron semakin penting, khususnya sektor pertanian yang bergerak ke arah penggunaan teknologi moden.

Justeru katanya, petani dan generasi muda perlu diberikan peluang mempelajari teknologi berkenaan secara formal supaya penggunaannya dapat diperluas untuk memantau tanaman serta meningkatkan kecekapan aktiviti pertanian.

“Untuk mengendalikan dron, seseorang perlu mempunyai lesen. Ini bermakna petani kita juga perlu mempunyai lesen dan jika mereka mempunyai kemahiran itu, anak-anak mereka juga boleh menggunakan dron untuk memantau tanaman.

“Dron amat penting dan sebab itu saya menyokong usaha mewujudkan akademi penerbangan di sini bersama-sama sektor swasta kerana mereka perlu mempunyai lesen untuk mengendalikan dron.

“Sekiranya ruang udara kita membenarkan, kita boleh mempelajari cara mengendalikan dron,” katanya ketika berucap pada Program Sarawak Ku Sayang Bahagian Betong 2026, hari ini.

Lebih 7,000 orang menghadiri program berkenaan.

Abang Johari berkata, penggunaan dron dalam pertanian juga boleh digabungkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu petani menganalisis maklumat dan mengurus tanaman dengan lebih berkesan.

“Jangan kita mengikuti 100 peratus apa yang diberikan oleh AI. Jadikan AI sebagai panduan dan sumber nasihat untuk membantu kita melakukan kajian yang lebih mendalam,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha memperkenalkan pendidikan teknologi di Betong turut disokong kemudahan sedia ada seperti CENTEXS, sekolah vokasional dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).