BETONG: Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa belum ada cadangan rasmi menambah kerusi Parlimen Sarawak tidak menjejaskan persetujuan prinsip Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pertambahan kerusi Parlimen perlu melalui beberapa peringkat, termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan dan kelulusan Parlimen sebelum proses persempadanan semula dimulakan.
Menurutnya, jumlah kerusi tambahan juga masih perlu diputuskan Kerajaan Persekutuan.
“Kalau hendak tambah, berapa hendak ditambah itu terpulang kepada kerajaan kerana ia melibatkan Parlimen.
“Selepas itu, ia mesti dibawa ke Parlimen dahulu sebelum proses seterusnya seperti pewartaan dan penyusunan semula sempadan kawasan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, hari ini.
Hadir sama semasa pelancaran SKS Betong, Timbalan-TimbalanPremier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kenamaan lain.
Abang Johari menjelaskan, apabila proses persempadanan dimulakan, cadangan sempadan akan dipamerkan untuk membolehkan pihak berkepentingan mengemukakan bantahan mengikut peruntukan ditetapkan.
Justeru, katanya, kenyataan SPR pada 25 September bahawa pihaknya belum menerima cadangan pertambahan kerusi adalah bertepatan dengan keadaan semasa kerana proses rasmi berkenaan belum bermula.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 September memaklumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen, dengan jumlah dan mekanisme pelaksanaannya masih perlu dibincangkan.
Sementara itu, SPR kini hanya mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Negeri Sarawak Ke-7 untuk penelitian awam sehingga 30 September 2026. – UKAS
