BETONG: Pelbagai pembangunan sedang dilaksanakan meliputi sektor pertanian, pendidikan, pelancongan dan infrastruktur bagi menyediakan peluang baharu kepada rakyat.
Menurut Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, antara perkembangan baharu ialah operasi Bebuling STOLport yang menyaksikan pesawat pertama mendarat,18 September lalu.
“Bebuling STOLport menjadi langkah penting membuka lembaran baharu perhubungan udara ke Betong, selain berfungsi sebagai pintu masuk pelancongan serta kemudahan pergerakan hasil kraf, pertanian, makanan dan kargo,” katanya dalam ucapan aluan Program Sarawakku Sayang, di sini, hari ini.
Pelancaran program dilakukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kenamaan lain.
Beliau berkata, sektor pertanian turut diberi tumpuan menerusi pembangunan Taman Agro Bebuling seluas 250 hektar bernilai RM88 juta dan Lubok Tamang Agropark seluas 763 hektar membabitkan kos RM53.6 juta.
“Kita mahu mempelbagaikan pertanian daripada tanaman tradisional kepada tanaman baharu yang mempunyai pasaran dan nilai lebih tinggi, termasuk melalui rantaian bekalan daripada pengeluaran sehingga pemasaran,” tambahnya.
Dalam bidang pendidikan, kampus baharu CENTEXS Betong dirancang menyediakan latihan dalam industri penerbangan, minyak dan gas, aplikasi mudah alih serta teknologi pertanian moden, manakala Yayasan Sarawak International School akan ditubuhkan di Spaoh.
Beliau berkata, pembangunan Betong turut melibatkan 505 projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong dengan peruntukan RM1.5 bilion meliputi infrastruktur, agro-makanan, sosial dan wanita, perniagaan, utiliti, pelancongan serta alam sekitar.
