SIBU: Majlis Pedun Likew Igen Kubu menjadi wadah penting menghimpunkan keluarga besar Igan yang berada di perantauan.
Majlis edisi ketiga itu yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi, berjaya menghimpunkan kira-kira 400 warga Igan yang menetap di Sibu dan kawasan sekitarnya.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, hubungan erat dalam kalangan warga Igan di perantauan perlu terus dipelihara, di samping memastikan generasi muda sentiasa mengenali keluarga, asal-usul serta kampung halaman mereka.
“Walau sejauh mana kita merantau, Igan tetap dekat di hati. Di mana pun kita berada, kita tetap satu keluarga,” katanya.
