Cadangan jadikan Jambatan Rambungan tarikan baharu Zon Sampadi

LUNDU: Kawasan Jambatan Rambungan dicadang dilengkapi pusat penjaja dan marina bagi mewujudkan tarikan baharu sekali gus membuka ruang ekonomi kepada penduduk di Zon Sampadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, cadangan itu dikemukakan susulan projek Jambatan Rambungan yang dijangka siap pada suku keempat 2027.

Kemudahan itu katanya, bukan sahaja dapat menyediakan peluang perniagaan kepada penduduk, malah berpotensi menyokong perkembangan aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.

“Saya bersyukur kerana Kerajaan Sarawak mengambil alih projek Jambatan Rambungan yang sebelum ini dibatalkan Kerajaan Persekutuan dan kini dijadual siap pada suku keempat 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Majlis Penangguhan Regata Batang Kayan 2026 di Dataran Lundu, di sini, hari ini, yang disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu, Azizul berkata pembangunan Lundu perlu merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, kemahiran dan keusahawanan termasuk membuka ruang kepada golongan muda dalam bidang teknologi, ekonomi digital, industri kreatif, sukan dan pelancongan.

Menurutnya, Regata Batang Kayan pula bukan sekadar acara sukan tradisional, sebaliknya platform menghimpunkan masyarakat, menghidupkan kegiatan ekonomi dan mempromosikan pelancongan.