KUCHING: Penambahbaikan sekolah daif, pengukuhan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran serta pembangunan sekolah antarabangsa milik kerajaan negeri antara fokus memperkasakan pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, pelbagai intervensi itu perlu dilaksanakan secara lebih agresif bagi memastikan pendidikan negeri terus berkembang mengikut keperluan semasa.
“Kita tidak dapat menunggu. Kita harus bergerak sendiri dengan cara drastik supaya pendidikan kita tidak ketinggalan,” katanya pada Majlis Penangguhan Program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa Pemerkasaan UP-DLP Sarawak di Wisma Sabati, di sini, hari ini.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan peluang pendidikan berkualiti turut dinikmati pelajar di luar bandar, sekali gus mengurangkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, tanpa intervensi bersesuaian, jurang pendidikan antara golongan berpendapatan berbeza serta kawasan bandar dan luar bandar berpotensi menjadi semakin besar.
