SKS Mukah sediakan 50 agensi, 170 perkhidmatan

MUKAH: Sebanyak 50 agensi kerajaan, badan berkanun dan rakan strategik menyediakan 170 perkhidmatan kepada masyarakat menerusi Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah di Dataran Pehin Setia Raja, mulai 2 hingga 4 Oktober ini.

Program yang memasuki penganjuran kelapan itu menjadi medan sehenti bagi penduduk mendapatkan pelbagai maklumat, khidmat nasihat dan perkhidmatan kerajaan secara terus tanpa perlu berurusan di lokasi berbeza.

Jurucakap penganjurnya berkata, antara tumpuan utama ialah kaunter pertanyaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 yang memberi penerangan mengenai kelayakan, jumlah bantuan serta kaedah pembayaran melalui platform SPay Global.

“SKAS 2026 memperuntukkan RM1,100 bagi isi rumah layak, RM600 untuk warga emas dan RM375 kepada individu bujang.

“Turut disediakan ialah maklumat mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), termasuk bidang pengajian, institusi terlibat dan syarat permohonan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, seramai 10 pelajar dijadual menerima manfaat FTES, manakala sekurang-kurangnya lima pelajar akan menerima tawaran Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS).

Bagi golongan belia dan pencari kerja pula, kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan menyediakan maklumat berkaitan peluang pekerjaan, pembangunan kerjaya serta padanan kerja dengan majikan yang mengambil bahagian.

“Pengunjung juga boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan termasuk pemeriksaan dan konsultasi, saringan kecergasan, vaksinasi influenza untuk warga emas serta pameran berkaitan penjagaan kesihatan.

Selain urusan perkhidmatan, program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti sukaneka rakyat, persembahan kebudayaan dan Konsert Rakyat, selain menawarkan 85 hadiah kepada pengunjung dengan hadiah utama sebuah kereta Proton Saga.

Majlis perasmian akan dilakukan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 3 Oktober, jam 10.30 pagi di Khemah Utama, Dataran Pehin Setia Raja.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk Mukah dan kawasan sekitar dijemput memanfaatkan kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan.