SELANGOR: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili Kerajaan Sarawak memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali di kediaman keluarga Allahyarham di The Mines, Seri Kembangan di sini hari ini.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa tokoh politik tanah air.
Dilahirkan pada 12 Julai 1926, Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi tadi.
Difahamkan solat jenazah akan diadakan selepas Asar di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur dan jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.
Terdahulu, Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2026 di Lapangan Terbang Lama Bintulu hari ini turut dimulakan dengan bertafakur sejenak sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah.
Majlis tersebut dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan turut dihadiri barisan menteri dan dif-dif kenamaan lain. – UKAS
