AsaGiant Ambal: Dari luar bandar ke pentas dunia

KOTA SAMARAHAN: Pasukan robotik AsaGiant Ambal dari SMK Asajaya mencipta sejarah apabila meraih pingat gangsa kategori RoboSports pada World Robot Olympiad (WRO) Open Championship Asia Pacific India 2026 di Hyderabad, India, baru-baru ini.

Pasukan yang diwakili Naqib Rafiudin Fiqri Rosli dan Auliya Nuryuzarsieff Nor Shubhibillah itu dibimbing Cikgu Supian Zulkifli, sekali gus mengharumkan nama Asajaya, Sarawak dan Malaysia di pentas dunia selepas bersaing dengan 149 pasukan lain dari 25 negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, pencapaian tersebut adalah kemuncak perjalanan panjang pasukan berkenaan yang bermula sekitar 2007 menerusi penubuhan Kelab Robotik Asajaya oleh Cikgu Supian, dengan sokongan Pembantu Makmal Sains, Mas Wiraasta Aman.

“Hampir dua dekad dibangunkan, pasukan itu konsisten menyerlah di peringkat negeri dan kebangsaan sebelum melebarkan langkah ke luar negara.

“Antara negara tersebut adalah New Delhi pada 2016, Costa Rica (2017) serta pertandingan robotik antarabangsa secara dalam talian pada 2021,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Jelasnya, kembalinya mereka ke India kali ini lebih bermakna apabila berjaya membawa pulang pingat, sekali gus membuktikan bakat anak luar bandar mampu bersaing dalam bidang robotik, teknologi dan inovasi bertaraf dunia.

Pencapaian tersebut ujar beliau lagi, turut mencerminkan usaha berterusan guru, pembimbing, ibu bapa, pihak sekolah dan generasi terdahulu yang membina legasi AsaGiant Ambal dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Beliau turut berharap agar kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk berani meneroka bidang teknologi dan inovasi.

Ini tegas beliau, membuktikan bahawa tempat seseorang bermula tidak menentukan sejauh mana mereka mampu melangkah.