SPR: Pameran syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian PRN Sarawak berakhir Rabu ini

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan bahawa pameran syor bagi Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Dalam Negeri Sarawak Ke-7 akan berakhir pada 30 September (Rabu) ini,
jam 5.00 petang.

Pameran syor bagi kaji semula itu dilaksanakan sejak 1 September lalu, kata Setiausaha SPR Malaysia, Datuk Khairul Shahril Idrus dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata, apa-apa representasi sama ada bantahan atau sokongan terhadap pameran syor tersebut hendaklah dikemukakan secara bertulis kepada SPR dan dihantar secara dalam talian (online) melalui pautan https://myst.spr.gov.my atau dialamatkan kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum atau pada masa yang dinyatakan.

Representasi yang lengkap juga boleh dihantar secara serahan tangan ke Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, Tingkat 11, Bangunan Sultan Iskandar Jalan Simpang Tiga, di sini.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan mengenai urusan mengemukakan representasi berhubung syor kajian semula itu boleh menghubungi Hotline KSP Sarawak di talian 082-254 233 atau e-mel ke ksp@spr.gov.my.