KUCHING: Sarawak yakin nilai pelaburan yang diluluskan pada 2026 berpotensi melepasi RM16 bilion.
Timbalan Premier Sarawak,Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keyakinan itu susulan komitmen pelaburan baharu dan pelaburan semula daripada beberapa syarikat.
Tambahnya, nilai pelaburan setakat ini mencecah RM11.2 bilion dan dijangka terus meningkat sehingga akhir tahun.
“Kita sudah mengadakan libat urus dengan beberapa syarikat yang telah memberikan komitmen.
“Ada pelaburan baharu dan ada juga pelaburan semula daripada syarikat yang sudah beroperasi di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Hari Intergriti dan Inovasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Jelasnya, antara syarikat yang merancang menambah pelaburan ialah Taiyo Yuden, dengan pelaburan bagi fasa seterusnya dianggarkan sekitar RM600 juta.
Beliau berkata, komitmen berkenaan memberi keyakinan bahawa momentum pelaburan di Sarawak akan terus kukuh.
Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) mahu integriti dan inovasi bergerak seiring.
Katanya, ia bagi memastikan MINTRED terus berfungsi secara cekap, telus dan berakauntabiliti dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri.
Tegasnya, MINTRED memikul tanggungjawab besar dalam perdagangan, industri, pelaburan dan pembangunan usahawan, termasuk urusan kelulusan, bantuan serta komuniti perniagaan.
“Setiap keputusan perlu dibuat secara profesional, telus dan bertanggungjawab bagi memastikan keyakinan pelabur, usahawan serta rakyat terhadap kementerian terus terpelihara.
“Integriti bukan sesuatu yang terpisah daripada pembangunan ekonomi, sebaliknya merupakan sebahagian penting dalam pembangunan itu sendiri,”ujarnya.
Pelabur mahukan proses yang jelas, keputusan yang konsisten dan urusan yang cekap, manakala usahawan mahu peluang serta bantuan diberikan secara adil berdasarkan kelayakan dan merit,katanya.
Jelasnya,bagi tempoh 2021 hingga 2025, Sarawak merekodkan lebih RM116 bilion pelaburan diluluskan.
Sementara itu, katanya, pada 2025 sahaja, sebanyak RM16.3 bilion pelaburan melibatkan 313 projek diluluskan dengan potensi mewujudkan lebih 6,500 peluang pekerjaan.
Pada masa sama beliau berkata, usaha terus dilaksanakan untuk membangunkan kawasan perindustrian, memperluaskan akses pasaran serta menyediakan pembiayaan, latihan dan peluang kepada usahawan di seluruh Sarawak. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
