KUCHING: Sambutan hari kelahiran rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke- 80 akan bermula pada 8 Oktober ini dengan Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, majlis yang berlangsung di Masjid Jamek di sini, bakal dihadiri 5,000 tetamu.
“Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek akan diadakan pada 8 Oktober manakala pihak Unifor turut mengadakan Majlis Kesyukuran Agama- Agama Lain di Kompleks UNIFOR pada malam 9 Oktober,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Lahir
Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Ke-80 Tahun 2026, di sini, hari ini.
Sambutan utama iaitu Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa pada 10 Oktober ini bermula 6.30 pagi di Padang Merdeka, diikuti Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Dewan Istiadat Astana pada 12.30 tengah hari.
Pada sebelah malam, Majlis Jamuan Negeri akan diadakan di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala konsert rakyat berlangsung di Padang Merdeka pada malam berikutnya.
Konsert rakyat itu menampilkan dua artis jemputan dari Kuala Lumpur iaitu Datuk Awie dan Aina Abdul, selain lima artis tempatan termasuk Floor 88.
“Ada artis yang dijemput daripada Kuala Lumpur dan penyanyi Sarawak.
Julaihi berkata, pertunjukan bunga api turut dijadual berdasarkan nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dengan ramalan cuaca baik pada pagi sambutan.
Lokasi pertunjukan bunga api turut mengalami sedikit perubahan berbanding sambutan lalu bagi memastikan persembahan berada dalam keadaan terkawal dan tidak terlalu hampir dengan orang ramai.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga disiplin, keselamatan dan menggunakan tempat letak kereta yang sesuai. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI
