BINTULU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu celik dan mahir menggunakan teknologi terkini bagi berurusan dengan penduduk kawasan Jepak di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata ini supaya mereka dapat memanfaatkan teknologi itu seperti telefon pintar, aplikasi perkhidmatan kerajaan dan media sosial.
“Manfaatkan telefon pintar, aplikasi perkhidmatan kerajaan dalam talian dan media sosial bagi menyampaikan maklumat dengan pantas, menyelaras urusan penduduk dengan cekap, serta menangkis berita palsu yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Dewan Undangan Negeri (DUN) N.67 Jepak di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.
Selain itu, Iskandar berkata Kerajaan Sarawak juga sedang giat memacu ekonomi digital dan pemimpin di peringkat kampung dan rumah panjang tidak boleh ketinggalan.
“Zaman telah berubah, dan cara kita memimpin juga perlu berubah. Ketua hari ini tidak boleh lagi sekadar menunggu masalah datang mengetuk pintu,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau mahu mereka yang akan menerima sijil di majlis itu mesti proaktif, turun padang, mengenal pasti masalah lebih awal dan mencari penyelesaian sebelum ia menjadi lebih besar.
“Sijil yang akan diterima sebentar lagi bukan sekadar sehelai kertas. Ia adalah lambang kepercayaan Kerajaan Sarawak dan, lebih daripada itu, lambang kepercayaan rakyat,” jelasnya.
Iskandar berkata, dengan menerima lantikan ini, mereka telah berikrar untuk meletakkan kepentingan kampung dan rumah panjang mengatasi kepentingan diri, keluarga atau kelompok tertentu.
