Sejarah asas pembinaan negara bangsa, perkukuhkan perpaduan

KUCHING: Sejarah perlu dijadikan asas pembinaan negara bangsa bagi memperkukuhkan jati diri, rasa kebersamaan dan perpaduan rakyat Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, sesebuah bangsa tidak terbina hanya kerana berkongsi wilayah, sebaliknya dibentuk melalui pengalaman, nilai dan cita-cita bersama.

Menurutnya, pembentukan Malaysia berteraskan perjalanan berlapis serta kepelbagaian identiti, termasuk kedudukan Sarawak dan Sabah dalam pembentukan negara menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kepelbagaian itu menjadi kekuatan dalam membentuk identiti nasional yang inklusif.
“Ia juga menyatukan rakyat sebagai satu bangsa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Majlis Syarahan Negarawan bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Wisma Melayu Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Aaron turut menegaskan bahawa Arkib Negara Malaysia perlu bergerak daripada sekadar menyimpan khazanah sejarah kepada usaha merakyatkan sejarah.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan khazanah negara dapat diakses, difahami dan dihayati oleh generasi akan datang.

“Memahami perjalanan Malaysia bermakna rakyat perlu mengenali akar yang berbeza, menghargai pengalaman bersama serta menemukan titik persamaan yang menyatukan negara.

“Sejarah perlu menjadi penghubung antara generasi bagi memastikan golongan muda memahami perjalanan pembentukan Malaysia,” tegasnya.

Pada majlis tersebut, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menyampaikan syarahan mengenai sejarah Sarawak kepada para pentadbir, penjawat awam, ahli akademik, penyelidik dan masyarakat seterusnya merasmikan majlis berkenaan.

Majlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara Malaysia itu diadakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Pustaka Negeri Sarawak, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak serta Ikatan Graduan Melayu Sarawak.

Program itu turut diadakan sempena Jubli Emas 50 Tahun Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak yang ditubuhkan pada 1 Julai 1976.