Jenayah siber Sarawak catatkan kerugian RM233.48 juta

KUCHING: Sebanyak 5,875 kes jenayah siber direkodkan di Sarawak bagi tempoh 2024 hingga April lalu, membabitkan kerugian sekitar RM233.48 juta.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata jumlah itu menunjukkan jenayah siber antara isu sosial yang perlu diberi perhatian serius.

“Sebanyak 1,957 kes direkodkan pada 2024 dengan kerugian RM76.71 juta, sebelum meningkat kepada 2,662 kes pada 2025 dengan kerugian RM109.17 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Fokus Intervensi Sosial Bersepadu Sarawak 2026 (ISSIP) di sini, hari ini.

Menurutnya, jenayah siber adalah antara 13 isu sosial utama yang diberi perhatian menerusi program tersebut.

“Statistik perlu dilihat bersama realiti masyarakat kerana angka hanya menunjukkan trend dan skala sesuatu isu, manakala suara komuniti membantu memahami keadaan sebenar di sebalik angka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 535 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Sarawak pada 2025 berbanding 552 kes pada 2024, manakala kes membabitkan wanita meningkat daripada 371 kepada 382 kes.

Fatimah berkata, isu sosial memerlukan tindakan bersepadu antara kerajaan, sektor swasta, NGO, institusi penyelidikan dan komuniti bagi membina Sarawak yang lebih selamat, inklusif, prihatin dan sejahtera.