1,177 peserta sertai Jalan Santai Keluarga

KUCHING: Seramai 1,177 peserta menyertai program Jalan Santai Keluarga terdiri daripada 254 keluarga dan 115 peserta kategori individu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, program itu dimulakan dengan aktiviti zumba sebelum Jalan Santai Keluarga.

“Program ini bukan sahaja menghimpunkan keluarga, tetapi turut menjadi ruang interaksi masyarakat serta membuka peluang kepada usahawan mikro mengetengahkan produk masing-masing,” katanya ketika ditemui media sempena Welfare Family Fun Walk, di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai 100 usahawan mikro kebajikan turut mengambil bahagian dengan pelbagai produk yang dihasilkan mereka.

Katanya, penyertaan itu memberi peluang kepada usahawan berkenaan mendapatkan ruang pemasaran, menjalinkan hubungan serta berkongsi pengalaman dan kemahiran.

Menurutnya, perkongsian antara usahawan turut membolehkan mereka mengetahui produk yang dihasilkan serta keperluan bahan mentah dan kemahiran yang boleh dipelajari.

“Apabila jualan meningkat, hasil juga akan meningkat dan peningkatan hasil ini membawa kepada peningkatan taraf ekonomi keluarga klien kebajikan kita,” tambahnya.

Rosey berkata, program berkenaan turut menyediakan jualan dan pameran agensi kerajaan sebagai sebahagian daripada pengisian Karnival Wellbest Sarawak.

Katanya, kehadiran pelbagai agensi menyediakan ruang kepada masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan peluang keusahawanan, pinjaman dan urusan lesen di satu lokasi.

Beliau menggesa usahawan kecil mengambil peluang hadir bagi mendapatkan maklumat secara terus daripada agensi berkaitan tanpa perlu berkunjung dari satu pejabat ke pejabat lain.