MUKAH: Bahagian Mukah menerima pelaburan pembangunan besar-besaran termasuk RM2.1 bilion bagi melaksanakan 68 projek bekalan air sepanjang tempoh 2018 hingga 2026.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, selain itu projek infrastruktur lain turut memberi manfaat kepada penduduk luar bandar dan pesisir.
Usaha itu katanya, membuktikan komitmen kerajaan negeri memastikan keperluan asas serta kemudahan awam terus dipertingkatkan di seluruh bahagian ini.
Sepanjang lima tahun lalu katanya, sebanyak 78 projek rakyat bernilai sekitar RM1.3 bilion dilaksanakan, tidak termasuk kos pembinaan beberapa jambatan utama seperti Jambatan Batang Lassa, Jambatan Igan dan Jambatan Batang Paloh.
“Sebanyak 1,338 projek Transformasi Luar Bandar (RTP) turut dilaksanakan dengan nilai melebihi RM55 juta, manakala pembangunan dan peningkatan rangkaian jalan raya di bahagian itu membabitkan kos tidak kurang RM1 bilion.
“Bahagian Mukah mempunyai kira-kira 6,998 kilometer (km) persegi, meliputi lima daerah dan tiga daerah kecil, dengan hampir 80 peratus kawasannya berada di pesisir pantai sepanjang kira-kira 200 km.
“Kawasan ini mempunyai 162 kampung dan 254 rumah panjang dengan jumlah penduduk sekitar 110,000 orang, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas menjadi antara keutamaan utama,” katanya dalam ucapan aluan Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum, sempena Program Sarawakku Sayang 2026, Mukah.
Majlis itu dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan kepimpinan negeri.
Abdullah berkata, usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat turut dilaksanakan menerusi Pakej Bantuan Khas Kewangan RM876.2 juta, termasuk peningkatan kadar SKAS kepada RM1,100 bagi isi rumah layak, RM600 untuk warga emas tanpa pasangan dan RM375 bagi individu bujang yang memenuhi syarat.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut menyediakan diskaun 25 peratus bil elektrik domestik dari April hingga Disember 2026 serta potongan 50 peratus sewaan premis tertentu bagi membantu meringankan beban rakyat dan peniaga kecil.
“Kita berharap pembangunan seterusnya memberi tumpuan kepada penambahan kemudahan perbankan termasuk ATM, kemudahan sukan, naik taraf sekolah serta pembangunan Agropark, selain memperkukuh sektor pertanian dan perikanan,” tambahnya.
