KOTA SAMARAHAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Samarahan bakal dibuka dan menerima kemasukan pelajar sekali gus menyediakan akses pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak tempatan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, perkembangan kemudahan pendidikan di kawasan itu mencerminkan usaha berterusan dalam menyediakan prasarana pendidikan selesa, kondusif serta selamat untuk generasi muda.
“Saya gembira melihat perkembangan kemudahan pendidikan di kawasan Kota Samarahan yang terus diperkasakan bagi menyediakan suasana kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke SMK Sri Samarahan bagi meninjau persediaan sekolah di sini, semalam.
Menurutnya, kemudahan pendidikan berkualiti penting membentuk persekitaran pembelajaran yang mampu menyokong perkembangan akademik, sahsiah dan potensi pelajar.
