Kuching sasar festival kucing bertaraf dunia tahun depan

KUCHING: Penganjuran festival kucing disasarkan kembali bertaraf dunia pada tahun depan menerusi kerjasama dan pengiktirafan Persekutuan Kucing Sedunia (WCF).

Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman berkata, perbincangan bersama pihak berkaitan termasuk juri WCF telah mendapat maklum balas positif, sekali gus membuka ruang untuk membida status berkenaan bagi penganjuran akan datang.

Kuching sebelum ini jelasnya, pernah menganjurkan festival kucing bertaraf dunia kira-kira tiga tahun lalu dan berharap diberi kepercayaan sekali lagi untuk menganjurkannya dalam skala lebih besar.

“Sekiranya diberi peluang, ia akan membuka ruang kepada lebih ramai penggemar dan penggiat pemeliharaan kucing dari seluruh dunia untuk mengambil bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian festival kucing antarabangsa Kuching 2026 di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran tahun ini pada asalnya dirancang dalam skala lebih besar termasuk memperluaskan acara perarakan kucing yang diperkenalkan tahun lalu.

Bagaimanapun, jelasnya, keadaan cuaca dan jerebu menyebabkan aktiviti luar tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang, sekali gus menyaksikan program tahun ini lebih tertumpu kepada aktiviti dalam bangunan.

Walaupun berdepan kekangan itu, penyertaan tahun ini tetap menggalakkan dengan penglibatan peserta dari China, Brunei, Vietnam dan Thailand selain Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa penyertaan antarabangsa termasuk kemasukan kucing dari luar negara akan melalui prosedur ditetapkan dengan penglibatan agensi berkaitan seperti imigresen, polis dan perkhidmatan veterinar.

“Langkah berkenaan merupakan prosedur operasi standard.

“Ini bagi memastikan kelancaran dan keselamatan penganjuran acara antarabangsa di Kuching,”ujarnya. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI