Sarawak sasar operasi Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Pontianak tahun depan

KUCHING: Sarawak menyasarkan operasi Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Pontianak bermula pertengahan tahun depan.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bangunan pejabat berkenaan sudah dikenal pasti dan kini memerlukan kerja pengubahsuaian.

“Bangunan sudah dikenal pasti dan kita harap pejabat ini dapat mula beroperasi pertengahan tahun depan,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan sempena Karnival Wellbest Sarawak 2026, di sini, hari ini.

Bagi pejabat di Abu Dhabi pula, beliau berkata ia dirancang sebagai Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak yang sama dengan penyelarasan oleh PETROS dan Sarawak Energy Berhad.

“Untuk Abu Dhabi, belum ada bangunan yang dikenal pasti.

“Ia masih dalam proses rundingan untuk mengenal pasti bangunan yang sesuai,” tambahnya.

Beliau berkata, pengoperasian pejabat di Pontianak turut memerlukan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) selain mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Indonesia melalui kementerian berkaitan.

Pejabat berkenaan akan dikendalikan di bawah kementerian berkaitan dan perlu mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Indonesia.