KUCHING: Seramai 2,192 usahawan mikro kebajikan di Sarawak menerima geran berjumlah RM10.9 juta menerusi Program Pembangunan Ekonomi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) sejak 2021 hingga September 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah itu, seramai 929 usahawan atau 43 peratus berjaya meningkatkan pendapatan sehingga melepasi RM1,200 sebulan.
Beliau berkata, program itu bertujuan memperkasakan penerima bantuan kebajikan yang masih sihat dan produktif.
Katanya, langkah itu supaya mereka mampu berdikari melalui aktiviti keusahawanan tanpa terus bergantung kepada bantuan bulanan.
“Melalui Geran Usahawan Wellbest sehingga RM5,000 dalam bentuk peralatan, penerima diberi peluang membangunkan perniagaan dengan bimbingan, latihan dan pemantauan secara berstruktur,” katanya dalam ucapan aluan Majlis Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan 2026 di Pusat Konvensyen Metrocity, di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Fatimah berkata, bagi 2026, JKMS menyasarkan 350 usahawan baharu di seluruh Sarawak, dengan 252 orang atau 72 peratus daripada sasaran itu diluluskan geran masing-masing setakat September.
Manakala, 123 usahawan berjaya dilepaskan daripada program bimbingan.
Menurutnya, seramai 546 usahawan masih menerima bimbingan, latihan dan pemantauan, sementara jumlah jualan terkumpul melalui laporan jualan bulanan serta aktiviti promosi mencapai RM7.92 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.
Sementara itu, Karnival Wellbest Sarawak 2026 menghimpunkan 100 usahawan mikro kebajikan dari seluruh Sarawak, terdiri daripada 30 peserta Wellbest Kitchen, 40 usahawan produk makanan kering, 20 usahawan kraf dan 10 pengusaha perkhidmatan.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuhkan Program Pembangunan Ekonomi bagi membantu golongan produktif meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
Katanya, selain itu memastikan kejayaan usahawan turut diterjemahkan kepada kehidupan lebih stabil serta kemampuan merancang masa depan.
