KUCHING: Lebih ramai Usahawan Mikro Kebajikan disasar menembusi rantaian bekalan dan nilai yang lebih luas bagi membina perniagaan mampan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, golongan itu perlu diberi peluang menjadi pembekal kepada perniagaan lebih besar termasuk melalui jaringan kerjasama dengan syarikat tempatan dan pemain industri.
“Kita mahu melihat lebih ramai Usahawan Mikro Kebajikan berupaya menembusi rantaian bekalan dan rantaian nilai yang lebih luas.
“Mereka tidak seharusnya hanya bergantung kepada pasaran setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan sempena Karnival Wellbest Sarawak 2026, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menurut Awang Tengah, Usahawan Mikro Kebajikan perlu diberi ruang menyertai sektor ekonomi bernilai tambah lebih tinggi termasuk industri, pelancongan, ekonomi digital dan pertanian moden.
“Kejayaan pembangunan Usahawan Mikro Kebajikan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah bantuan yang disalurkan semata-mata, tetapi juga melalui peningkatan pendapatan, kemampuan mengekalkan perniagaan dan keupayaan mereka untuk berdikari,” tambahnya.
Pada masa sama, Kerajaan Sarawak mahu lebih ramai usahawan mikro memanfaatkan platform e-dagang, media sosial dan sistem pembayaran digital bagi menjangkau pelanggan lebih luas serta meningkatkan kecekapan operasi.
