Demak Laut A juara Pertandingan Bowling Armada Pemuda Zon Kuching

KUCHING: Pasukan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.5 Demak Laut A muncul juara Pertandingan Bowling Armada Pemuda Zon Kuching yang berlangsung di gelanggang bowling Hotel Riverside di sini, semalam.

Parti PBB N.4 Pantai Damai B muncul naib juara, manakala tempat ketiga menjadi milik N.9 Padungan.

Sebanyak 20 pasukan menyertai pertandingan yang menghimpunkan barisan Pemuda dari beberapa cawangan di Zon Kuching dalam suasana pertandingan yang santai tetapi kompetitif.

Pasukan yang menduduki tempat keempat hingga ke-20 masing-masing menerima hadiah sagu hati.

Dalam kategori individu, Irwandy An muncul pemenang High Pin, manakala anugerah High Pin berpasukan dimenangi N.5 Demak Laut A.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, yang juga Ketua Pemuda Parti PBB merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.22 Kedup, Datuk Martin Ben.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier, Afiq Ibrahim, serta Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Bowling, Ahmad Faizuladha Drahman.

Pertandingan itu membabitkan 80 peserta daripada cawangan N.5 Demak Laut, N.9 Padungan, N.10 Pending, N.11 Batu Lintang, N.12 Kota Sentosa, N.13 Batu Kitang dan N.14 Batu Kawah.

Selain itu, N.4 Pantai Damai dan N.8 Satok mengambil bahagian sebagai pasukan jemputan.

Pertandingan itu menghimpunkan barisan Pemuda daripada cawangan-cawangan menerusi aktiviti sukan dan rekreasi sihat serta kompetitif.