Puisi satukan kepelbagaian bahasa, budaya masyarakat

BINTANGOR: Penghayatan puisi dalam bahasa kebangsaan dan bahasa etnik perlu diperhebatkan sebagai usaha memelihara warisan budaya dan menyemai rasa hormat antara kaum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, selain menjadi platform menghayati keindahan bahasa dan sastera, ia juga mengetengahkan keunikan bahasa Iban serta etnik lain sebagai sebahagian daripada identiti masyarakat Sarawak.

Katanya, penganjuran program itu membuktikan bahasa bukan sekadar medium komunikasi, malah berperanan menyampaikan pemikiran, perasaan dan pengalaman hidup sesebuah masyarakat melalui karya seni dan sastera.

“Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan bahasa etnik bagi memastikan kekayaan warisan budaya tempatan terus dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Seribu Rona Satu Jiwa di Dewan Sri Rajang, Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, di sini, malam tadi.

Katanya, golongan muda perlu diberi pendedahan berterusan terhadap seni puisi dan kepelbagaian bahasa supaya lebih memahami nilai kebudayaan masyarakat majmuk.