DARO: Mohamad Elsyamaniezar Isuandi muncul juara Kategori Bot dalam pertandingan memancing edisi pertama anjuran Pergerakan Pemuda PBB N.43 Daro, di Jeti Muara Lassa semalam.
Beliau mengetuai pasukan dari Kampung Badong berjaya mendarat tangkapan seberat 1.5 kilogram (kg) membawa pulang wang tunai RM4,000.
Tempat kedua menjadi milik Hafiq Afizan Ismail menerima RM3,000, manakala Raimi Razali ( ketiga) dengan wang tunai RM2,000.
Bagi kategori individu, Hamka Merjang dari Kampung Belawai mengungguli pertandingan menerusi tangkapan seberat 0.6 kg untuk meraih hadiah RM2,000.
Ahmad Besungo dari Kampung Nangar Besar menduduki tempat kedua dengan tangkapan 0.36 dan menerima RM1,000, sementara Mohd Khaizal Manan dari Mukah, ketiga dengan 0.34 kg membawa pulang RM700.
Pertandingan yang bermula 7.30 pagi hingga 3 petang itu menarik penyertaan peminat memancing dari Daro, Sibu, Mukah, Sarikei dan Bintangor, dengan keseluruhan hadiah berjumlah RM14,800 bagi kedua-dua kategori.
Gimik pelepasan peserta disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Dr Safiee Ahmad.
