KOTA SAMARAHAN: Program Semarak Perpaduan Komuniti Sejahtera anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tanjung Bundong Tradisi membantu memperkukuhkan perpaduan, silaturahim dan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang berkata, penganjuran aktiviti itu membantu mengeratkan hubungan penduduk serta mewujudkan suasana kampung harmoni.
Menurutnya, aktiviti itu turut memberi peluang kepada penduduk mengenali antara satu sama lain, di samping mencungkil bakat dan menggalakkan penyertaan aktif masyarakat.
Beliau turut memuji usaha jawatankuasa KRT Kampung Tanjung Bundong Tradisi serta merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perpaduan atas sokongan dalam menjayakan program berkenaan.
“Saya gembira melihat Tanjung Bundong mengadakan pelbagai aktiviti seperti ini untuk mengeratkan hubungan sesama anggota Rukun Tetangga, merapatkan persahabatan serta membawa keamanan dalam komuniti.
“Saya mengucapkan syabas kepada jawatankuasa KRT Tanjung Bundong Tradisi dan terima kasih kepada Jabatan Perpaduan atas sokongan serta sumbangan dalam menjayakan aktiviti seperti ini,” katanya.
Beliau berkata pada Program Semarak Perpaduan Komuniti Sejahtera di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.
Antara aktiviti ialah sukaneka, pertandingan kuih tradisional, henna tangan, memasak bertemakan ikan tradisi, mewarna untuk kanak-kanak dan warga emas, carom bergu terbuka serta lukisan muka.
