PADAWAN: Acara berakit di Sarawak dicadang diseragamkan dan disusun sebagai satu litar perlumbaan bagi mengembangkan sukan berkenaan sehingga mampu menarik penyertaan antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beberapa acara seumpamanya kini dianjurkan di lokasi berbeza termasuk Padawan, Serian dan Selangau, sekali gus mempunyai potensi untuk diselaraskan dalam satu kalendar pertandingan.
Menurutnya, sekiranya empat atau lima acara dapat disusun sebagai satu litar, peserta berpeluang mengikuti keseluruhan siri sebelum kemuncaknya menerusi perlumbaan akhir.
“Jika dapat diseragamkan dari segi pembinaan dan ukuran rakit, kita boleh mewujudkan satu piawaian acara rakit Sarawak yang kemudiannya berpotensi diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Safari Rakit Padawan 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Git, di sini hari ini.
Safari Rakit Padawan juga ujarnya menjadi sebahagian daripada Padawan Discovery Festival.
Katanya, kejayaan Festival Perahu Naga Antarabangsa di Kuching yang berjaya menarik penyertaan dari pelbagai negara membuktikan acara berasaskan sungai juga berpotensi berkembang sekiranya mempunyai piawaian pertandingan yang jelas.
Beliau yakin keunikan sungai, landskap hijau serta persekitaran semula jadi di Padawan mampu menarik peserta dari Singapura, negara Asia Tenggara dan negara lain untuk menyertai acara berkenaan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, katanya, penganjuran Safari Rakit Padawan turut memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat menerusi jualan makanan, penyediaan rakit, penginapan, inap desa serta perkhidmatan berkaitan pelancongan.
“Acara ini bukan sahaja mempromosikan sungai dan khazanah alam semula jadi, malah membantu merancakkan pelancongan domestik serta menggalakkan pemeliharaan alam sekitar,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, penganjuran Padawan Discovery Festival yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum turut mampu memperkukuh hubungan, kefahaman dan keharmonian dalam kalangan komuniti setempat.
Sebanyak 151 pasukan menyertai lima kategori yang dipertandingkan membabitkan jarak antara 15 hingga 40 kilometer di sepanjang Sungai Sarawak Kiri, bermula di Kampung Annah Rais dan berakhir di Kampung Git dengan hadiah keseluruhan bernilai RM20,300.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kaunselor Tan Kai.
– NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
