KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menghadiri Majlis Penangguhan Ijtimak Zon Sarawak 2026 di Markaz Tabligh Kuching, Surau Darul Muttaqin, Jalan Depo Link, di sini hari ini.
Ketibaan beliau disambut Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim serta Syura Jemaah Dakwah Malaysia Maulana Abdul Hamid Chin.
Pada majlis tersebut, Tun Pehin Sri turut mendengar Bayan Hidayat yang disampaikan Amir Syura Jemaah Dakwah Malaysia, Abdullah Chong yang menyentuh kepentingan memperkukuh iman, amal ibadah dan usaha dakwah serta menghayati tanggungjawab umat Islam dalam kehidupan seharian.
Ijtimak yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Oktober itu menghimpunkan kira-kira 6,000 jemaah dari pelbagai kawasan bagi mengikuti pengisian ilmu, tazkirah, solat berjemaah serta program keagamaan.
Majlis penangguhan berkenaan diakhiri dengan bacaan doa sebagai tanda kesyukuran atas kelancaran penganjuran Ijtimak Zon Sarawak 2026.
Turut hadir Timbalan Imam Besar Sarawak Mohamad Ihsan Haidzir, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Sarawak, Wan Shaifuddin Wan Madihi serta Ketua Pegawai Eksekutif Darul Hana Quranic Centre, Majlis Islam Sarawak Mohamad Shalahudin Marzuki.
