Sarawak Agrofest diminta tingkatkan hasil jualan tahun depan

BINTULU: Penganjur acara Sarawak Agrofest 2026 diminta memberi perhatian terhadap memperkasakan penganjuran ekspo itu tahun hadapan terutama dari segi hasil jualan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata ini dengan memperkukuhkan strategi promosi dan pengisian program ekspo terbabit kerana hasil jualannya merosot kepada RM3.6 juta tahun ini berbanding RM6.5 juta tahun lalu.

“Ini bagi memastikan peningkatan jumlah pengunjung pada masa hadapan dapat diterjemahkan kepada peningkatan hasil jualan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penangguhan Sarawak Agrofest 2026 di tapak Lapangan Terbang Lama di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman Ismail berkata, berdasarkan statistik diterima pihaknya, seramai 126,333 pengunjung tunggal direkodkan menghadiri ekspo berkenaan tahun ini.

Katanya, jumlah kunjungan berulang pula meningkat hampir empat kali ganda kepada 2.5 juta berbanding sekitar 700,000 yang dicatatkan pada penganjuran tahun lalu.

“Peningkatan jumlah kunjungan itu belum memberi impak positif terhadap nilai jualan keseluruhan yang merekodkan penurunan hampir 45 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Menurut beliau, kemerosotan itu berkemungkinan dipengaruhi beberapa faktor termasuk penganjuran pelbagai acara dan program lain di Bintulu yang berlangsung dalam tempoh sama.

Katanya, beberapa acara berskala besar diadakan serentak dipercayai mempengaruhi corak perbelanjaan orang ramai serta mengurangkan tumpuan terhadap pembelian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di Agrofest.

Beliau juga meminta Residen Bahagian Bintulu, Datuk Nyurak Keti dan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Sirai Daha memberikan perhatian terhadap memperkasakan lagi penganjuran ekspo itu tahun hadapan.