SIBU: Pendidikan awal kanak-kanak perlu diberi perhatian kerana menjadi asas penting dalam membentuk generasi berilmu, berdisiplin, bersahsiah dan mempunyai nilai murni.
Ahli Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, apa yang dibentuk dalam diri anak-anak pada hari ini akan menentukan kualiti generasi yang bakal memimpin Sarawak pada masa hadapan.
“Apa yang kita bentuk pada anak-anak hari ini akan menentukan generasi yang memimpin Sarawak pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian l pada Majlis Makan Malam KEMAS P.207 Igan di RH Hotel, di sini, yang menghimpunkan warga KEMAS kawasan berkenaan dalam suasana penuh mesra.
Ahmad Johnie turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KEMAS P.207 Igan atas komitmen dan dedikasi dalam mendidik anak-anak, khususnya dalam memastikan masyarakat luar bandar turut mendapat akses kepada pendidikan awal berkualiti.
Majlis berkenaan turut menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga KEMAS P.207 Igan, selain menghargai segala komitmen dan khidmat bakti yang dicurahkan kepada masyarakat.
