Jambatan Sejingkat projek mega ke-12 berjaya dibina Kerajaan GPS

KUCHING: Jambatan Sejingkat kini menjadi jambatan mega ke-12 berjaya dibina Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekali gus dibuka kepada lalu lintas hari ini.

Majlis prapembukaan itu disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Bercakap kepada media selepas itu, Douglas Uggah berkata jambatan berkenaan antara 21 jambatan mega dibina GPS di seluruh Sarawak dengan beberapa jambatan lagi dijangka siap hujung tahun ini serta bakinya tahun depan.

Antaranya ialah Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Lupar 2 yang jangka siap pada hujung Oktober ini serta Jambatan Rambungan yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

“Jambatan Sejingkat merupakan ke-12 jambatan mega yang kita tunaikan, maksudnya kita (GPS) membinakan,” katanya. di sini, hari ini.

Jambatan sepanjang 1.28 kilometer (km) itu menghubungkan Tanjung Bako dan Sejingkat menyediakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di laluan Kuching-Samarahan.

Projek bernilai RM365.74 juta itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerusi Pakej D3A, iaitu projek Jalan Utama Kuching-Samarahan Kedua membabitkan pembinaan jambatan merentasi Sungai Sarawak di Sejingkat.

Jambatan berkenaan mempunyai dua lorong bagi setiap arah dan dibina mengikut piawaian JKR R5, manakala struktur utama menggunakan reka bentuk jambatan kabel dengan tiga rentang berukuran 200, 400 dan 200 meter (m).

Kemudahan ini kata Uggah, mempunyai laluan pelayaran selebar 200m dengan kelegaan menegak 26m bagi memastikan pergerakan pengangkutan sungai dapat diteruskan di bawah jambatan.

Uggah berkata, ini juga membuktikan impian Kerajaan GPS membina 21 jambatan itu dengan dana Kerajaan Sarawak sendiri kini jadi realiti dan bukan janji kosong.

“Apabila Premier ( Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan itu dulu, banyak orang kata itu air liur. Tapi sekarang dia orang beliur melihat apa yang berlaku,” tambahnya.

“Dengan adanya jambatan ini, masyarakat sama ada dari Kota Samarahan atau Kuching mahu pergi ke seberang ini, dia tidak perlu melalui Samarahan-Kuching Expressway lagi,” jelasnya.

Uggah berkata, jambatan terbabit juga akan memendekkan perjalanan dari Kuching ke Sibu serta menyenangkan perjalanan dari Sejjngkat menuju ke lapangan terbang.