RM300,000 lonjak kemudahan SMK Three Rivers

MUKAH: Kerajaan Sarawak memberi perhatian terhadap keperluan pendidikan apabila memperuntukkan RM300,000 bagi menaik taraf laluan masuk dan kawasan parkir Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers.

Projek yang kini siap sepenuhnya itu dilaksanakan bagi menyediakan akses lebih selamat dan selesa kepada pelajar, guru, kakitangan sekolah serta pengunjung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, kemudahan yang baik penting bagi memastikan aliran kenderaan di kawasan sekolah lebih teratur, khususnya ketika waktu puncak.

“Kawasan parkir yang lebih tersusun turut membantu mengurangkan kesesakan ketika sesi persekolahan, selain apabila sekolah menganjurkan program yang berkaitan,” katanya ketika menghadiri majlis penyerahan projek itu, di sini hari ini.

Royston menggesa pihak sekolah memastikan kemudahan berkenaan diselenggara dengan baik supaya terus memberi manfaat dalam jangka panjang.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada JKR Bahagian Mukah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah, pihak sekolah, ZR Construction serta semua pihak yang menjayakan projek berkenaan.

Projek siap itu diserahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah kepada Pengetua SMK Three Rivers, Donny Dahlan.