KUCHING: Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) menyumbangkan 50 kerusi roda kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) menerusi program Sarawak Unity for Humanity bagi membantu pesakit yang memerlukan.
Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian kepada Timbalan Pengarah HUS, Dr. Alex Kim Ren Jye yang mewakili Pengarah HUS.
Sementara itu, Presiden PPS, Dr. Wynson Ong berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan susulan peningkatan keperluan kerusi roda di hospital berkenaan, selain banyak kemudahan sedia ada mengalami kerosakan.
“Sumbangan kali kedua berjaya direalisasikan hasil kerjasama HS Best Automobile Sdn. Bhd., DCM Autohub Sdn. Bhd, Borneo Planner Management Sdn. Bhd.
“Sumbangan turut mendapat penglibatan beberapa individu,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Jelasnya, perpaduan tidak seharusnya hanya disebut sebagai slogan, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai usaha HUS menyediakan ruang ibadat pelbagai agama bagi memenuhi keperluan rohani dan emosi pesakit, keluarga serta petugas hospital.
PPS jelasnya, turut menyediakan perkhidmatan aduan pengguna secara percuma.
PPS menggesa lebih banyak pihak menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan memerlukan serta membina Sarawak yang lebih inklusif dan sejahtera, ujarnya.
