SIBU: Peruntukan pembangunan RM16.2 bilion kepada Sarawak menerusi Belanjawan 2027 dijangka membuka lebih banyak peluang keusahawanan kepada belia.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, ini khususnya melalui pembangunan infrastruktur dan jaringan telekomunikasi.
Katanya, pembangunan jalan raya, jambatan dan jaringan telekomunikasi akan memperluaskan akses pasaran serta merancakkan aktiviti ekonomi di luar bandar.
Katanya, peningkatan jaringan perhubungan bukan sahaja memudahkan pengangkutan barangan ke pasaran, malah membolehkan usahawan luar bandar memanfaatkan teknologi digital untuk mengembangkan perniagaan.
“Apabila jaringan jalan raya, jambatan dan liputan telekomunikasi semakin meluas, lebih banyak kawasan baharu dapat dibuka untuk aktiviti ekonomi.
“Justeru, belia perlu merebut peluang ini dengan mengenal pasti kekuatan sumber dan potensi ekonomi di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Penutupan Program Sarawak Youth Startup Kohort Ketiga di sini, hari ini.
Ripin turut menggalakkan golongan belia meneroka sektor berpotensi seperti pertanian, penternakan, teknologi serta minyak dan gas berdasarkan kelebihan dan sumber di kawasan masing-masing.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penguasaan ilmu merupakan asas penting sebelum seseorang belia menceburi bidang perniagaan.
“Program latihan selama lapan hari itu menyediakan pengetahuan asas dan panduan bagi membantu peserta memulakan perniagaan,” ujarnya.
