Abang Johari beri bayangan calon, tunggu hari penamaan calon

KUCHING: Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan beberapa penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkemungkinan dikekalkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum DUN Sarawak Ke-13.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu belum secara rasmi kerana keputusan pemilihan calon hanya akan dimuktamadkan menjelang hari penamaan calon.

“Bayanganlah. Saya beri bayangan sahaja. Kita hanya sahkan pada hari penamaan calon,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media ketika diminta mengulas kenyataannya mengenai beberapa pemimpin termasuk Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Lo Khere Chiang selepas melancarkan Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong, di di Genesis Moyan, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada lebih ramai calon akan diberikan bayangan sempena Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bakal berlangsung, beliau hanya menjawab, “Tengoklah, tengok keadaan.”

Mengenai masa pengumuman senarai calon GPS, Abang Johari berkata keputusan itu dijangka dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon.

“Insya-Allah, sebelum hari penamaan calon,” katanya. – NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI