KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg belum dapat memberi sebarang keputusan terhadap beberapa permohonan Persekutuan Persatuan Cina Sarawak.
Menurutnya, antara permohonan persatuan itu berkaitan urusan tanah, dasar imigresen bagi ekspatriat serta prosedur pengambilan pekerja asing.
Beliau berkata, perkara tersebut dibangkitkan Presiden persekutuan berkenaan, Dato Sri Richard Wee.
Namun, tegasnya, sebarang persetujuan atau kelulusan belum dapat diberikan kerana beliau tidak mempunyai mandat baharu ketika ini.
“Saya ingin mengatakan ‘ya’ dan meluluskannya, tetapi sekarang saya belum mempunyai mandat.
“Saya tidak boleh mengatakan ya atau tidak sehingga 12 Disember ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pelantikan Jawatankuasa Pengurusan Ke-20 Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (2025–2028) di sini, malam ini.
Abang Johari turut menyatakan harapan agar mandat diberikan semula kepada kerajaan sedia ada sekarang pada 12 Disember nanti.
“Ini bagi membolehkan kerjasama antara kerajaan dan masyarakat Cina diteruskan demi kepentingan Sarawak,” ujarnya. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
