DARO: Projek pembinaan Perpustakaan Awam Daerah Daro kini mencapai kemajuan 90.6 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Januari tahun depan.
Projek bernilai RM8.5 juta itu
menempatkan Pusat Digital dan Inovasi kini berada pada peringkat akhir pembinaan, termasuk kerja pemasangan lif.
Penyandang Kerusi DUN Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, kemudahan berkenaan bakal menyediakan ruang pembelajaran, pembacaan dan rujukan lebih moden serta selesa.
“Kemudahan baharu ini sebagai platform untuk menggalakkan kreativiti, inovasi dan penguasaan teknologi digital dalam kalangan generasi muda.
“Kewujudannya mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperluas akses pendidikan serta meningkatkan peluang pembelajaran, khususnya bagi masyarakat di luar bandar,” katanya.
Katanya, perpustakaan berkenaan juga dijangka menjadi antara prasarana penting dalam melahirkan modal insan berkualiti menerusi pembudayaan membaca dan pembelajaran sepanjang hayat.
