Pensijilan antirasuah perkukuh tadbir urus MUT

KUCHING: Kejayaan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) MS ISO 37001:2025 memperkukuh komitmen kementerian itu terhadap tadbir urus telus dan bebas rasuah.

Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pensijilan tersebut merupakan langkah penting bagi memastikan setiap amanah pembangunan dilaksanakan dengan penuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti.

“ABMS ISO 37001:2025 merupakan antara instrumen untuk memperkukuh integriti institusi dan memastikan setiap amanah pembangunan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti,” katanya pada Sambutan Hari Integriti dan Inovasi MUT Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan sistem berkenaan selaras aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030), demi pembangunan infrastruktur utiliti dan telekomunikasi untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau menegaskan bahawa komitmen terhadap integriti perlu diterjemahkan melalui tindakan.

Katanya, ini termasuk pemantauan dan penguatkuasaan yang konsisten, terutama dalam pengurusan projek infrastruktur, kelulusan lesen dan permit serta penyampaian perkhidmatan awam.

“Integriti bukan hanya bermaksud tidak menerima rasuah semata-mata tetapi melaksanakan amanah dengan jujur, menepati masa, mematuhi peraturan, mengelakkan konflik kepentingan, bersikap adil serta berani mempertahankan perkara yang benar,” tegasnya.

Terdahulu, Setiausaha Tetap MUT, Datuk Jafri Lias memaklumkan bahawa kementerian itu berjaya memperoleh pensijilan ABMS MS ISO 37001:2025 yang turut dilancarkan oleh Julaihi pada majlis berkenaan.

FOTO: Julaihi Narawi