KUCHING: Sarawak bakal menerima tumpuan pelaburan dalam sektor infrastruktur kecerdasan buatan (AI) menerusi perancangan pembangunan di Tanjung Embang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan keseluruhan entiti berkenaan di Malaysia dianggarkan bernilai 1.85 bilion Dolar AS, dengan sebahagian daripadanya melibatkan Sarawak.
“Pelaburan itu turut merangkumi perancangan pembangunan loji pemprosesan serta infrastruktur AI di Sarawak.
“Tanjung Embang merupakan antara kawasan yang diberi tumpuan dalam perancangan pembangunan tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Konvensyen Kepimpinan dan Pemerkasaan Murid Tingkatan Enam Negeri Sarawak Tahun 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, perancangan berkenaan turut melibatkan pembangunan kampus AI sebagai sebahagian daripada infrastruktur yang dirancang.
Sarawak juga dijangka menerima manfaat daripada pelaburan berkenaan menerusi pelaksanaan projek yang dirancang di negeri ini.
