Kenyalang lambang warisan Sarawak

KUCHING: Memulihara burung kenyalang dan habitat semula jadinya amat penting untuk melindungi biodiversiti Sarawak dan memelihara kekayaan warisan negeri ini untuk generasi akan datang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, burung kenyalang mempunyai tempat khas dalam identiti dan warisan budaya Sarawak, manakala kehadirannya mencerminkan kesejahteraan dan ekosistem hutan di negeri ini.

“Melindungi spesies burung kenyalang memerlukan usaha berpandukan kajian siantifik, keberkesanan menjaga kelestarian habitat, kerjasama dalam kalangan agensi kerajaan, pertubuhan dan masyarakat,” katanya pada majlis sambutan Hari Burung Kenyalang Kebangsaan 2026 di Pusat Sains Sarawak (SSCIEX) di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, kehadiran burung kenyalang mencermin kesejahteraan hutan dan kelestarian ekosistem biodiversiti.

Beliau menegaskan, sambutan Hari Burung Kenyalang Kebangsaan menyedia platform penting untuk menyedarkan orang ramai dan menggalakkan penyertaan dalam melindungi biodiversiti Sarawak.

Sambutan perayaan itu dirasmikan oleh Yang d-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang ditemani oleh Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi.

Bertemakan ‘Bumi Kenyalang Memulihara Warisan, Melindungi Alam Semula Jadi’ perayaan itu bertujuan memupuk kesedaran tentang pentingnya memulihara burung kenyalang, menggalak perlindungan habitat berasaskan sains dan menggalak penyertaan masyarakat dalam melindungi spesies burung kenyalang.

Perayaan sambutan yang masuk tahun ketiga itu sejak diperkenal 2024, menghimpunkan agensi kerajaan, penyelidik, pertubuhan, pemain industri, pelajar dan sukarelawan untuk mengukuhkan kerjasama dalam usaha pemuliharaan.

Antara aktiviti yang diadakan adalah pemuliharaan, pameran, sesi kesedaran dan bercerita burung kenyalang, bengkel fotograpi hidupan liar, pertandingan mewarna dan program pendidikan alam sekitar membabitkan pelajar.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi, Ahli Majlis Pentadbiran Yaysan Sime Darby, Datu Dr Rashidah Bolhassan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Dr. Yatela Zainal Abidin.

Sambutan perayaan itu diteruskan esok dengan program penanaman pokok di Taman Negara Santubong.