KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempelawa sektor swasta dan pelabur supaya berkongsi kepakaran dan pembiayaan dalam membangunkan ekonomi hijau di negeri ini.
Beliau berkata, Sarawak bersedia untuk berkongsi hasil kejayaan membangunkan tenaga hidro, solar dan biomass bersama-sama dengan sektor swasta dan pelabur.
“Sarawak memerlukan pembiayaan hibrid untuk mengukuhkan pembangunan tenaga hijau yang boleh diterokai di negeri ini,” katanya semasa sesi soal jawab pada forum Memacu Kemajuan: Pembiayaan Peralihan Perindustrian Sarawak anjuran Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) di sini, hari ini.
Ketua Tadbir Urus dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mushahid Syed sebagai moderator sesi berkenaan.
Abang Johari menegaskan, Bintulu sebagai satu-satunya kluster hab perindustrian tenaga hijau di rantau ini daripada 39 kesemuanya di dunia, menawarkan banyak peluang untuk sektor swasta dan pelabur.
Pembangunan perindustrian di Bintulu itu mengambil kira kepentingan menjaga alam sekitar dan mematuhi piawaian antarabangsa dalam mengejar kemajuan, katanya.
Sarawak, tambahnya, turut menawarkan lebih banyak peluang perniagaan bagi sektor swasta dan pelabur susulan rancangan untuk membangunkan pusat data kecerdasan buatan (AI) dan pintu masuk di rantau ini di Tanjung Embang.
Beliau menegaskan, selain itu Sarawak kini turut giat membangunkan sistem pengangkutan awam, metanol dan perdagangan karbon selepas berjaya memperkenalkan ekonomi digital.
Duta British ke Malaysia, Ajay Sharma yang hadir sama turut berucap pada majlis berkenaan.
