Strategi pelancongan Sarawak jadi tarikan

KUCHING: Pendekatan Sarawak dalam mengurus industri pelancongan mendapat perhatian beberapa negeri di Semenanjung yang menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama dalam membangunkan sektor berkenaan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya telah menerima surat daripada beberapa wakil negeri, termasuk Menteri Besar, yang menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Sarawak.

Menurutnya, minat tersebut menunjukkan pendekatan Sarawak dalam mengurus industri pelancongan turut mendapat perhatian di peringkat nasional.

“Ini menunjukkan bahawa kita juga mendapat perhatian ramai dari segi cara kita menguruskan industri pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran Konsert Manggung Di Muara, di sini hari ini.

Katanya, minat berkenaan membuka ruang kepada perkongsian pengalaman dan kepakaran, khususnya dalam aspek pengurusan, pembangunan produk serta promosi pelancongan.

Kerjasama itu katanya juga berpotensi memperluas pertukaran pengetahuan antara negeri bagi memperkukuh daya saing industri pelancongan di peringkat nasional. – UKAS