Teknologi tenaga bersih, pertanian tumpuan Sarawak

KUCHING: Sarawak memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi pertanian bagi membentuk rantaian nilai ekonomi negeri dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keupayaan tenaga negeri merangkumi hidroelektrik, hidrogen, solar, gas asli dan biojisim.

“Tenaga hidrogen yang dihasilkan melalui pemisahan molekul air merupakan antara sumber tenaga bersih yang boleh membantu mengurangkan pelepasan karbon,” katanya pada Konvensyen Kepimpinan dan Pemerkasaan Murid Tingkatan Enam Negeri Sarawak Tahun 2026, di sini, hari ini.

Menurut beliau, gas asli turut berpotensi menghasilkan hidrogen melalui kandungan metana, sekali gus diiktiraf sebagai sumber tenaga rendah karbon.

“Dalam sektor pertanian, penggunaan teknologi padi saka di Miri membolehkan tanaman tumbuh semula selepas dituai tanpa perlu ditanam semula,” tambahnya.

Beliau berkata, teknologi berkenaan berpotensi menghasilkan tiga musim tuaian setahun dengan pengeluaran sehingga lapan tan bagi setiap hektar, berbanding satu tan bagi kaedah penanaman biasa.

Selain itu, sisa kelapa sawit boleh diproses menjadi baja, bahan api penerbangan dan makanan ternakan, sekali gus mewujudkan rantaian nilai ekonomi serta peluang pekerjaan berasaskan kepakaran teknologi.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah,
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee serta Pengarah Pendidikan Negeri, Dato Omar Mahli hadir sama.