Tanah warisan pribumi dilindungi

SERIAN: Kerajaan Sarawak terus mengotakan komitmennya dalam memperjuang hak tanah adat masyarakat pribumi apabila berjaya menyiapkan pengukuran sebanyak 1.24 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di seluruh negeri.

Pencapaian itu dilihat sebagai kejayaan besar yang memberi jaminan kepada masyarakat pribumi bahawa tanah warisan mereka akan terus diiktiraf dan dilindungi oleh undang-undang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengiktirafan Pemakai Menoa dan Pulau Galau menerusi Seksyen 6A Kanun Tanah Sarawak menjadi langkah penting dalam memperkukuh hak tanah adat.

Menurut beliau, kerajaan mengambil pendekatan perundangan selepas keputusan mahkamah pada 2016 dengan memperkenal Seksyen 6A bagi memastikan pengiktirafan yang jelas dan sah terhadap tanah adat masyarakat pribumi.

“Ini bukan janji politik dan bukan retorik semata-mata. Ia adalah langkah berani kerajaan untuk menguatkuasakan Seksyen 6A demi kepentingan rakyat yang berhak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena perasmian projek pembangunan bagi tempoh 2022 hingga 2026 di Kampung Meboi, hari ini.

Sebagai bukti pelaksanaan dasar tersebut, kerajaan menyerahkan surat Hak Milik Tanah Komunal Masyarakat Peribumi (NCT) seluas 304 hektar di Sungai Senga, Suai Niah kepada Temenggong Boniface Bada.

Uggah turut mendedahkan daripada 1,248,659 hektar tanah NCR yang diukur, sebanyak 979,434 hektar diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

Di bawah Seksyen 18 pula, lebih 135,000 hektar melibatkan 112,717 lot selesai disukat.

Tegas beliau, tanah adat bukan sekadar aset ekonomi tetapi merupakan warisan nenek moyang yang sarat dengan nilai sejarah, budaya dan identiti, sekali gus menjadi amanah yang perlu dipelihara demi generasi baharu.