KUCHING: Pembangunan rangkaian jalan raya dan jambatan di Sarawak bukan sekadar meningkatkan kemudahan perhubungan, malah membuka peluang ekonomi baharu menerusi pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan aktiviti perniagaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan infrastruktur berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk menjadikan Sarawak sebuah wilayah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Kita sedang membina landasan baharu untuk menjadikan Sarawak sebuah wilayah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Batu Kawa yang menghubungkan kawasan itu dengan Jambatan Stephen Yong, di sini, hari ini.
Katanya, kesan pembangunan infrastruktur dilihat menerusi perubahan ekonomi di kawasan yang sebelum ini berdepan kekangan perhubungan, khususnya apabila perjalanan menjadi lebih mudah dan aktiviti perdagangan dapat dijalankan.
Beliau mengambil contoh pembinaan Jambatan Batang Lupar yang bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah menarik kehadiran pelancong termasuk dari Singapura ke kawasan berkenaan.
Perubahan sama turut memberi manfaat kepada pengusaha tempatan apabila hasil perikanan seperti ikan terubuk dan ikan lumek mendapat pasaran lebih baik susulan peningkatan akses pengangkutan dan kemudahan membawa hasil ke pusat jualan.
“Apabila kita membina jambatan dan menyediakan kemudahan perhubungan yang lebih baik, kita bukan sekadar menghubungkan kawasan, tetapi turut membuka pintu rezeki yang lebih luas kepada rakyat,” tambahnya.
Beliau turut menyifatkan pembangunan Kuching sebagai Bandar Raya Pintar yang menitikberatkan kelestarian alam sekitar, termasuk kualiti udara dan pengurusan pembangunan bandar secara mampan.
Menurutnya, sasaran menjadikan Sarawak wilayah ekonomi berpendapatan tinggi turut disokong pelaburan dalam teknologi terkini, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta pendidikan percuma bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur, peningkatan kemahiran anak Sarawak dan tadbir urus yang baik menjadi antara asas penting dalam merealisasikan aspirasi menjadikan Sarawak negeri termaju di Malaysia menjelang 2030.
