6,000 unit kediaman lonjakan pembangunan Batu Kawa

KUCHING: Pembangunan kira-kira 6,000 unit kediaman serta kemasukan pelaburan swasta mencerminkan peningkatan aktiviti ekonomi dan pertumbuhan kawasan Batu Kawa yang memerlukan kemudahan perhubungan lebih baik.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, perkembangan itu turut disokong kehadiran institusi pendidikan seperti Sekolah Antarabangsa St Joseph di kawasan Bandar Baru Batu Kawa (MJC).

“Apabila sesebuah kawasan berkembang dengan pesat, keperluan terhadap jalan raya, kemudahan awam dan perkhidmatan turut meningkat.

“Pembangunan infrastruktur perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan tersebut,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Batu Kawa yang menghubungkan kawasan itu dengan Jambatan Stephen Yong, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran dilakukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Open.

Menurut beliau, sebanyak 4,800 unit kediaman telah dibangunkan, manakala 1,200 unit lagi sedang dalam pembinaan.

Ini sekali gus menggambarkan peningkatan permintaan terhadap kemudahan perumahan dan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan, katanya.

“Pembangunan bukan hanya tentang membina bangunan atau jalan raya.

“Kita mahu mewujudkan kawasan yang sesuai untuk didiami, tempat masyarakat membina kehidupan dan peluang untuk ekonomi terus berkembang,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bekas kuari Ang Cheng Ho yang terbiar kini dibangunkan semula sebagai taman serba guna dan Hab Inovasi Tegas, dengan fasa kedua projek berkenaan telah diluluskan dan kerja tender telah dikeluarkan.