KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak berjaya menyukat kira-kira 1.24 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sejak 2010 hingga Oktober lalu, sekali gus memperlihatkan usaha berterusan dalam mengiktiraf dan melindungi hak pemilikan tanah masyarakat Bumiputera.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hampir satu juta hektar daripada keluasan itu telah diwartakan menerusi inisiatif penyukatan tanah yang diperkenal bagi mempercepatkan proses pengiktirafan hak pemilik tanah NCR.
Menurutnya, pencapaian tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh 1960-an hingga 2010 apabila hanya sekitar 260,000 hektar tanah berjaya disukat dalam tempoh lebih 50 tahun.
“Kerja-kerja penyukatan ini telah dilaksanakan sejak 1960-an hingga 2010, namun dalam tempoh lebih 50 tahun, keluasan tanah yang berjaya disukat hanya sekitar 260,000 hektar,” katanya selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6, Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 dan Seksyen 13 Kanun Tanah Sarawak serta Cek Pampasan Tanah bagi Bahagian Samarahan di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, inisiatif berkenaan dilaksanakan melalui dua peringkat, iaitu penyukatan perimeter di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak, diikuti pengukuran lot individu berdasarkan permohonan pemilik tanah.
Ini membabitkan peruntukan RM40 juta daripada Kerajaan Sarawak dan RM2 juta daripada Kerajaan Persekutuan disediakan tahun ini.
Dalam pada itu, Awang Tengah menegaskan isu tanah NCR tidak wajar dijadikan modal politik menjelang pilihan raya kerana kerajaan sentiasa mengiktiraf hak pemilik tanah yang dapat dibuktikan kesahihannya mengikut peruntukan undang-undang.
Mengulas gelaran ‘Awang Tanah’ yang diberikan kepadanya di media sosial, beliau berkata, perkara itu tidak menjejaskan komitmennya untuk memastikan pemilik tanah yang berhak memperoleh surat hak milik masing-masing. “Dia panggil nama saya apa-apa pun, saya tidak kisah. Apa yang menjadi matlamat dan keutamaan saya ialah memastikan mereka yang mempunyai kepentingan mendapat surat hak milik tanah,” tegasnya.
