KUCHING: Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong bernilai RM207.88 juta tidak boleh mengakibatkan gangguan bekalan air, elektrik mahupun perkhidmatan telekomunikasi yang boleh menjejaskan kehidupan harian penduduk.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan kontraktor projek wajib mematuhi petunjuk prestasi utama (KPI) sifar gangguan utiliti sepanjang tempoh pembinaan.
“Saya beri JKR dan kontraktor KPI sifar gangguan terhadap perkhidmatan utiliti. Saya tidak mahu dengar paip pecah atau bekalan elektrik terputus. Itu menjadi tugas pertama anda,” katanya pada majlis pelancaran projek berkenaan di sini, hari ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan projek tersebut.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, penyelarasan awal antara JKR, kontraktor dan agensi utiliti penting bagi mengenal pasti kedudukan paip air, kabel elektrik bawah tanah serta infrastruktur lain sebelum kerja pembinaan dimulakan.
Mengenai perkembangan projek, beliau memaklumkan kemajuan fizikal kini mencapai 12.03 peratus berbanding 3.6 peratus mengikut jadual, sekali gus menunjukkan pelaksanaan kerja mendahului perancangan.
Projek yang dibiayai Kerajaan Sarawak itu melibatkan pembinaan jalan raya berkembar sepanjang kira-kira 5.6 kilometer, termasuk dua jambatan merentasi Sungai Moyan dan Sungai Sarawak Kiri, yang dijadualkan siap pada 10 Februari 2029.
Dalam pada itu, beliau berkata JKR Sarawak telah melaksanakan 60 penilaian awal trafik di sekitar Kuching, selain menjalankan kajian pemodelan trafik bersepadu bagi mengenal pasti penyelesaian jangka panjang terhadap kesesakan jalan raya.
