Pembangunan sosial perlu ambil kira keluasan geografi, masyarakat

BINTULU: Pembangunan ekonomi pesat perlu disokong masyarakat sejahtera dari aspek fizikal, mental dan sosial.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, kemakmuran yang dicapai hendaklah dinikmati secara menyeluruh tanpa meminggirkan golongan rentan dan mereka yang memerlukan sokongan.

“Pembangunan sosial perlu diperkukuh seiring kemajuan ekonomi dan pembangunan infrastruktur,” katanya merasmikan Konvensyen Kesedaran Isu Sosial Masyarakat 2026 (KISS2026) bertemakan ‘Membina Spiritualiti, Memperkasa Komuniti, Mensejahterakan Sarawak’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan pembangunan sesebuah negeri tidak seharusnya dinilai berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kesejahteraan rakyat, kekuatan institusi keluarga serta keselamatan komuniti.

“Hasrat Kerajaan Sarawak untuk mencapai pembangunan seimbang menjelang 2030 perlu didukung masyarakat yang sejahtera, institusi keluarga yang kukuh serta komuniti yang selamat, inklusif dan saling menyokong,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat kini berhadapan pelbagai cabaran sosial termasuk penyalahgunaan dadah, masalah kesihatan mental, konflik kekeluargaan, keganasan rumah tangga, gejala sosial dalam kalangan remaja, buli siber serta ancaman keselamatan digital.

Isu berkenaan, tambahnya, bukan sahaja menjejaskan individu terbabit, malah boleh memberi kesan berantai terhadap kesejahteraan keluarga, keselamatan komuniti dan kestabilan sosial sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh.

Beliau berkata, penyalahgunaan dadah antara cabaran yang memerlukan perhatian serius kerana kesannya bukan sahaja terhadap kesihatan individu, tetapi turut menjejaskan institusi keluarga, keselamatan masyarakat dan pembangunan modal insan.

Katanya, pendekatan pembangunan sosial di Sarawak perlu mengambil kira keluasan geografi negeri, kepelbagaian latar belakang masyarakat serta perbezaan akses kepada perkhidmatan sokongan antara bandar, luar bandar dan pedalaman.

Sehubungan itu, program dan intervensi sosial perlu dilaksanakan secara inklusif, mudah diakses serta bersesuaian dengan keperluan setempat bagi memastikan tiada golongan tercicir.

Konvensyen dua hari (12 hingga 13 November) anjuran bersama MIDS Daerah Bintulu dan Universiti Putra Malaysia Sarawak itu merangkumi wacana pemetaan isu serta perbincangan meja bulat dalam lima bidang utama.